Sehebat Kebesaran Dunia Pun Tidak Dapat Menyamai Kemuliaan Al-Quran


Sayyidatina 'Aisyah r.anha memperlihatkan kebesaran dan kemuliaan mereka melalui datuk nenek, keturunan, keluarga dan melalui perkara-perkara lain. Sementara yang menjadi sebab yang menjadi kebanggaan umat ini ialah al-Quran (Dipetik dari kitab al-Hilyah)

Yakni membaca, mengingati, mengajar dan beramal dengan al-Quran. Pendek kata, apa-apa sahaja yang berhubung dengan al-Quran adalah layak dibanggakan. Mengapa tidak? Walhal al-Quran adalah perkataan kekasih dan firman Tuhan.

Sehebat-hebat kebesaran dunia pun tidak dapat menyamai kemuliaan al-Quran. Tambahan pula, sebesar-besar kehebatan dunia pun tetap akan binasa, sekiranya tidak hari ini, pasti pada suatu hari nanti.

Namun, kemuliaan dan kehebatan al-Quran adalah kekal, tidak akan berakhir untuk selama-lamanya. Salah satu daripada sekecil-kecil kemuliaan al-Quran pun adalah perkara yang patut dibanggakan. Inikan pula sifat-sifat itu didapati dengan penuh kesempurnaan.

Contohnya kecantikan susunan, kecantikan gaya bahasa, keseragamaan perkataan, kaitan antara ayat-ayat, pemberitahuan kisah-kisah yang telah lalu dan yang akan datang, sindiran yang begitu tajam terhadap manusia sehingga mereka tidak akan mampu mengingkari kebenaran sindiran itu walaupun mereka ingin berbuat demikian.

Sebagaimana orang Yahudi, walaupun mereka mendakwa cintakan ALLAH S.W.T tetapi mereka tidak mampu untuk menginginkan kematian. Orang yang mendengar pembacaan al-Quran akan terkesan, si pembaca tidak akan jemu-jemu membacanya.

Sebaliknya, perkataan-perkataan lain, walaupun sangat dicintai, hatta surat kekasih yang boleh menyebabkan seseorang itu mabuk cinta sekalipun, pasti seseorang itu jemu. Sekiranya hati belum berasa jemu setelah membaca sepuluh kali, pasti seseorang akan jemu pada kali yang ke dua puluh.

Jika pada kali yang ke dua puluh pun orang itu belum berasa jemu, mungkin pada kali ke empat puluh akan berasa jemu. Dalam apa-apa keadaan sekalipun, pasti seseorang itu akan jemu dan terus akan jemu.

Sebaliknya firman ALLAH S.W.T, sekiranya anda cuba menghafal satu lembaran daripada al-Quran, anda akan membaca, dua ratus kali, empat ratus kali malah akan membaca sepanjang hayat dengan tidak jemu-jemu.

Sekiranya ada apa-apa halangan yang datang maka halangan itu hanyalah untuk sementara dan akan hilang dalam masa yang singkat. Semakin banyak kita membaca semakin bertambah terasa kelazatan dan kemanisan.

Disamping itu terdapat banyak keistimewaan yang lain lagi. Keistimewaan-keistimewaan tersebut adalah begitu tinggi sehingga sekiranya satu daripada keistimewaan itu terdapat daripada mana-mana tulisan, walaupun tidak secara sempurna, tetap akan menjadi asbab kebanggaan.

Apabila kesemua keistimewaan tersebut didapati secara sempurna pada mana-mana susunan ayat al-Quran maka betapa pula kebanggan al-Quran.

Sekarang, patutlah kita merenung keadaan kita sendiri, berapa ramaikah antara kita yang benar-benar berbangga dengan keadaan dirinya sebagai hafiz al-Quran?

Atau adakah kita memandang kepada keadaan seseorang yang menjadi hafiz itu sebagai asbab kemuliaan untuknya? 

Kemuliaan dan kebangaan kita hanyalah pada ijazah yang tinggi, gelaran yang hebat-hebat, kehebatan dan kebesaran dunia serta harta benda dunia yang pasti terpisah selepas kita mati nanti.

Rujukan : Fadilah Amal M/S 270

Post a Comment

0 Comments